Wednesday, April 22, 2020

6 pengajaran yang berguna menerusi drama Ironi Kasih

Assalamualaikum wr wbt dan selamat sejahtera.
Drama Ironi Kasih (15 episod) mengisahkan tentang seorang gadis sunti (Kasih) yang pada awalnya baik lalu menjadi sebaliknya apabila Kasih ingin membalas dendam kepada lelaki yang menghancurkan kehidupan keluarganya iaitu kakak (Suri) dan ibunya. Dendam bertambah kuat apabila Kasih mahu menghancurkan kehidupan lelaki yang merosakkan kehormatan Suri. Terdapat pelbagai pengajaran yang boleh diteladani menerusi penceritaan drama ini.
1. Jika mahu mengusahakan bisnes, sebaiknya usahakan menggunakan duit sendiri, terutamanya lelaki. Kerana jika lelaki sewenangnya bersandar kepada duit seorang wanita, ia boleh menimbulkan pelbagai pertelingkahan kecil sehingga menjadi besar. Johan sering menggunakan duit isterinya (Emilia) sebagai modal untuk projek bisnesnya.
2. Sebagai seorang suami, dan ketua keluarga, Johan tidak sepatutnya dengan mudah membawa Kasih tinggal di rumah kerana tindakan ini mengundang pelbagai perbuatan yang tidak baik di sisi agama dan norma masyarakat. Sebagai contoh, berkhalwat dan menimbulkan fitnah.
3. Pengabaian tanggungjawab kepada keluarga membuka pintu kepada gejala sosial yang negatif. Emilia (isteri Johan dan ibu kepada Danish) obses dengan kerjaya sehingga dengan mudah menerima Kasih duduk di rumah semata-mata mahu menjaga Danish. Oleh itu, Kasih dengan bebas keluar masuk rumah dan melakukan sesuka hati sewaktu ketiadaan Emilia.
4. Janganlah kita menyimpan dendam dengan sesiapa pun dalam hidup. Nawaitu dan tindakan berdendam tidak membawa kepada kebaikan malah keburukan. Kasih pada akhirnya tersilap langkah apabila dia mendapati bahawa bukan Johan yang merosakkan kehormatan Suri.
5. Perbuatan khianat adalah perbuatan yang menganiaya kehidupan orang lain. Johan khianat kepada Suri apabila berjanji untuk berbisnes bersama-sama, sebaliknya menyebabkan Suri kerugian duit dan tanah pusaka emaknya.
6. Kita perlu segera bertindak dalam menyelesaikan masalah dan urusan hidup. Jika kita melengahkan masa, menggunakan masa yang ada dengan perkara yang melalaikan, kita akan mengalami kerugian dalam hidup. Rezeki itu luas maksudnya. anak tidak meragam itu satu rezeki. luangkan masa dengan suami lebih daripada “business partner” itu satu rezeki dan juga satu ibadah.
Konklusinya, kita perlu sentiasa berpegang teguh dengan agama dan nilai-nilai moral yang positif. Perlu berhati-hati dan jangan semudahnya menaruhkan kepercayaan kepada orang lain. Selidik terlebih dahulu siapa sekeliling kita. Lebih baik ambil masa selidik daripada membuang masa menganggung akibat buruk. Janganlah kita menabur janji kalau tidak mampu tunaikan. Janganlah berdendam, ia tidak baik untuk masa depan dunia dan akhirat kita. Wallahua`lam..

Monday, April 20, 2020

Melihat aura seni wanita Melayu menggunakan mata hati

Salah satu aktor lama yang hebat adalah Seniwati Saadiah. Seniwati Saadiah merupakan seorang primadona. Beliau adalah lagenda, disayangi dan dihormati.
Beliau mempunyai aura asli (genuine) dalam seni lakonannya dan ia sangat terserlah.
Jika tidak, tidak mungkin P Ramlee memilih bergandingan bersama Seniwati Saadiah dalam filem termasyhur, Musang Berjanggut, filem yang menguji ketulenan adab dan budaya hidup seorang wanita.
Seni adalah suatu perkara yang sangat halus. Memahaminya sangat sulit dan sukar. Sebab itu bila orang yang mahir seni, sebagai contoh Fauziah Dato Ahmad Daud, mengajar agar melihat seni itu menggunakan mata hati.
Bukan calang-calang orang yang boleh melakonkan watak Puspawangi dalam filem penuh maksud tersurat dan tersirat, mengajak dan mengajar manusia berfikir, lebih-lebih lagi karya genius seniman Melayu iaitu P Ramlee.
Musang Berjanggut merupakan salah satu contoh karya yang mengajar manusia melihat aura seni wanita Melayu asli menggunakan mata hati.
Bermula dengan peribadi Puspawangi, wanita yang terjaga baik, maka persekitaran, suasana, budaya, dan tamadun manusia boleh terjaga dengan baik. Mungkin inilah perumpamaannya, wanita mampu menjinakkan musang di hutan.
Antara nilai-nilai aura seni yang ditunjukkan menerusi watak Puspawangi adalah cantik, pembersih, baik akhlak, periang, positif, beradab, bijak, cermat, menjaga maruah, kuat hati, rajin dan fokus.
Pada siapa yang pernah tengok filem ini, perasan tak, sepanjang filem itu, watak Puspawangi ini gembira sahaja walaupun ada masalah, menarik bukan?
Sama-sama sedekahkan Al Fatihah kepada lagenda seni Melayu, P Ramlee dan Seniwati Saadiah. Kerana mereka banyak memberi teladan menerusi persembahan seninya yang jujur, tulen, dan ikhlas. Hebatnya filem ini, dari tahun 1959 filem ini mula diterbitkan, hingga kini ia kekal relevan. MasyaAllah..

Sunday, April 19, 2020

Isu tersirat dalam filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Dalam filem ini, nyata menunjukkan bahawa mematuhi adat merupakan perkara yang paling utama dalam usaha mengekalkan keharmonian kehidupan masyarakat minang.
Kita ini Melayu di Malaysia dan di Indonesia sama sahaja asalnya kerana sejarahnya tanah ini dahulunya dipanggil Nusantara Melayu. Budaya, adat, cara hidup adalah sama. Pergerakan kita ini dipanggil berhijrah, maksudnya contoh dari Kedah ke KL, dari Malaysia ke Indonesia, dari Thailand ke Malaysia, dari Filipina ke Indonesia, namun begitu tetap dalam kawasan yang sama. Sebenarnya kita bergerak dan bermain dalam kawasan yang sama. Cuma bila kita berhijrah, ada benda kekal ada benda kita tak mampu nak kekalkan. Macam budaya, seni, adat, ada yang kekal, ada yang berubah, ada yang lupa diamalkan.
Cerita ini menunjukkan betapa adat dijunjung, sebagai contoh Zainuddin yang pergi ke kampung asal ayahnya, makcik Jamilah perlu mendapatkan keputusan dari ketua adat samada boleh menerima Zainuddin tinggal di kampung tersebut ataupun tidak.
Pemuda nak berkenalan dengan Hayati kena bertanya dahulu keputusan daripada ketua adat.
Waktu bermesyuarat bersama ketua adat, ada seorang beliau berkata, ‘Hayati lebih baik mati dari langgar adat’.
Ibu cuba bersuara dalam isu pemilihan jodoh antara Zainuddin ataupun Hayati, ibu menyatakan Hayati akan makan hati berulam jantung dengan perkahwinan ini. Tapi keputusan ketua adat bersama ahli mesyuarat sebulat suara memilih Aziz.
Keputusan bulat dan tetap. Tapi, masih paksa Hayati berfikir nak terima atau tidak Aziz tu. Hayati ibaratnya ditelan mati emak diluah mati bapak. Dia pasrah menerima. Dimana kudrat Hayati kalau dia bercakap dia nak pilih Zainuddin? Kalau bersuara rasanya orang pandang macam nak sembelih dia.
Kadang pelik dengan karakter Hayati ini. Hanya berlinang dengan air mata, tunduk dan patuh sahaja dengan segala keputusan yang dibuat oleh orang lelaki. Sebagai manusia normal, cuba fikir takkan lah selemah itu Hayati menurut sahaja semua keputusan yang telah dibuat oleh ketua adat, suaminya, dan Zainuddin sendiri? Sebab itu bila Hayati bagitahu kasihanilah perempuan yang ditimpa musibah berganti-ganti ini, menunjukkan selemah dan seteruk kehidupan Hayati ini dia tidak berdendam, apatah lagi curang. Respon Zainuddin menunjukkan segala usahanya itu adalah dendam sehingga mengeluarkan kata-kata ‘pantang pemuda makan sisa’. Zainuddin secara tidak sedar menghina wanita, dan membuat keputusan menyuruh Hayati pulang ke kampung, walhal Hayati mahu hidup bersama Zainuddin.
Maksudnya, sebenarnya lelaki ini susah minta maaf kepada wanita, baik ketua adat (tiada dalam scene minta maaf), Aziz (minta maaf selepas bunuh diri), mahupun Zainuddin (minta maaf waktu Hayati tengah nazak). Demikianlah lelaki, dia lupa kekejaman dia kepada orang. Hayati lambang wanita yang pasrah dengan adat dan segala keputusan hidupnya dibuat oleh lelaki. Malangnya hidup Hayati sehingga membawa kepada kemalangan dalam hidup. Meninggal Hayati dalam keadaan melarat daripada membuat sebarang keputusan dalam hidup.
Tapi satu perkara yang menarik, watak Zainuddin dilihat bersungguh memperjuangkan kehidupan, masih menghormati adat dengan kefahamannya sendiri. Sebab dia orang susah. Jadi sudah biasa hidup berdikari. Zainuddin menunjukkan sebenarnya tak perlu adat yang terlalu ketat untuk berjaya dalam hidup. Adakah disebabkan Zainuddin seorang lelaki? Ataupun sebab Zainuddin melawan arus adat?

Friday, April 17, 2020

Mudahnya memahami tulisan nama Allah dan Muhammad SAW tanpa titik, salah satu bukti kebesaranNya.

Huruf Arab sejarahnya dahulu adalah sebuah tulisan yang tanpa ada sebarang titik. Terdapat sejarah pada zaman Saidina Usman ra. Kisahnya antara pembawa surat kerajaan Mesir pergi ke Madinah. Pihak pembesar Madinah tersalah membaca perkataan sebenar Faqbaluh (perkenankan dia) bertukar kepada kalimah Faqtuluh (bunuhlah ia). Keadaan pada waktu itu huruf ‘ba’ dan huruf ‘ta’ tiada titik, takdir dan akibatnya, terbunuhlah petugas dari Mesir yang menjalankan tugas penuh kejujuran tersebut.
Kesan dari tragedi tersebut berlaku perkembangan kepada huruf Arab, jadilah ia seperti sekarang yang ada titik. Titik tersebut bukan menunjukkan kelemahan huruf Arab, tapi menunjukkan kepakaran umat Arab dulu boleh membaca tulisan yang terbina tanpa ada sebarang titik.
Cuba kita lihat kepada huruf Allah dan Muhammad saw dalam bahasa Arab tanpa titik, ia boleh difahami dengan mudah, cepat dan tanpa ragu-ragu. Ia salah satu petunjuk bukti kebesaran Allah, hambaNya boleh memahami tulisan namaNya dan utusanNya tanpa sebarang titik. Sesungguhnya ilmu ini milik Allah. KepadaNya lah kita wajib beriman.

Contribution of Michel Foucault works on post-modernism.

Contribution of Michel Foucault works on post-modernism. Foucault is the French philosophers and his works against traditional way, taboo a...